Bagi Stuart Ramalingam, CEO Liga Bola Sepak Malaysia atau MFL, insiden membabitkan Faisal Halim dan Akhyar Rashid tidak menjejaskan imej Liga Malaysia. Setuju atau tidak? Sebelum itu, imbas secara ringkas dua insiden itu.
Pada 3 Mei lalu, Akhyar, pemain Terengganu FC cedera dipukul dengan batang besi oleh dua lelaki menyamunnya. Insiden membabitkan Faisal dua hari kemudian lebih menggemparkan.
Pemain sayap Selangor FC itu disimbah asid oleh seorang lelaki, menyebabkan tonggak utama Harimau Malaya itu perlu menjalani rawatan termasuk skin allograft surgery.
Insiden ini tidak mencemarkan imej MFL. Itu situasi yang kita perlu tangani. Saya tak mahu kata ia mencemarkan imej MFL, saya kata kita perlu tangani isu ini dengan sebaiknya, kata beliau kepada rancangan berita sukan, Nadi Arena, 6 Mei lalu.
Saya tidak tahulah cemar imej MFL mahu pun imej negara sendiri. Yang saya tahu, insiden serangan asid ke atas Faisal disiarkan media antarabangsa.
Tajuk laporan BBC berbunyi Malaysia football: Mystery attacks on players overshadow season start.
Pemain Manchester United, Andre Onana dan Alejandro Garnacho mewakili semua rakan sepasukan menghantar mesej Hello Faisal, we heard what happened. We feel you. We are with you.
Saya menyimpulkan mereka, juga pelbagai pihak serta media antarabangsa masih mengikuti perkembangan kesihatan Faisal dan siasatan ke atas serangan asid berkenaan.
Semasa menyiarkan berita serangan itu, media antarabangsa menyebut polis sedang menyiasat kes berkenaan.
Oleh kerana tiada perkembangan berhubung siasatan polis, media antarabangsa senyap, tetapi yakinilah mereka sedang memerhati.
Berbalik kenyataan CEO MFL disebut tadi: Kita perlu tangani isu ini dengan sebaiknya. Bagaimana menanganinya Stuart tidak beritahu.
Untuk berlaku adil, dinyatakan beliau berkata demikian semasa serangan asid ke atas Faisal baharu terjadi. Maka, diakui terlalu awal untuk beliau memberi penjelasan lanjut cara terbaik menangani isu itu.
Sekarang, lebih tepat tiga hari lalu, MFL mengambil tindakan ke atas Selangor FC kerana menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Tazim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei lalu.
Penarikan diri itu berkaitan insiden Faisal kerana kata Selangor FC, mereka enggan bermain demi mengambil kira keselamatan pemain.
Tindakan MFL ke atas Selangor FC mendapat perhatian media luar negara. Saya sempat membaca laporan akhbar Singapura, Straits Times. Saya ingin tanya adakah tindakan itu menangani isu Faisal dengan baik? seperti disebut Stuart, bulan lalu.
Yang jelas, Selangor FC menyifatkan tindakan itu tidak adil. Ramai termasuk orang luar Selangor sependapat dan melihat tindakan ke atas Selangor FC terlalu keras dan keterlaluan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi reaksi negatif. Kerajaan Selangor menerusi Majlis Sukan Negeri melancarkan tabung Solidariti Bersama Selangor FC.
Beberapa ahli politik turut tampil menyuarakan kesediaan bagi membantu membayar denda dikenakan terhadap Selangor FC. Betul kata orang during times of adversity, there is unity.
Pada pendapat saya, yang membuka mata ialah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda murka kerana hukuman dijatuhkan MFL tidak masuk akal dan amat berlebihan. Keputusan Selangor FC menarik diri direstui baginda.
Sekarang, Sultan Selangor menyatakan jika baginda menerajui FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor), baginda tidak akan teragak-agak menarik Selangor FC keluar daripada Liga Super untuk tempoh tertentu.
Walaupun Sultan Selangor tidak menerajui FAS, putera baginda iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ialah presidennya, selain pemilik bersama Selangor FC. Perlu saya nyatakan, sebarang langkah membawa keluar Selangor FC daripada Liga Malaysia mesti mengambil kira beberapa aspek, khususnya karier dan tentunya gaji pemain.
Namun, Selangor FC mungkin boleh beraksi di liga bola sepak Singapura, Thailand atau Indonesia, bergantung perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ditegaskan, ini hanya pendapat peribadi saya.
Umum sudah tahu tindakan dikenakan ke atas Selangor FC yang diumumkan Selasa lalu. Namun, saya ulangi juga di sini sepintas lalu. Denda RM100,000, bayar pampasan kerugian pasukan tuan rumah JDT, potong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 dan perlawanan Selangor FC JDT kelak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dimainkan tanpa penonton.
Bagi MFL, ia adil kerana berdasarkan pulangan komersial kata Stuart apabila perlawanan tidak dimainkan di Johor, tiada pendapatan atau keuntungan daripada perlawanan berkenaan. Jadi, perlawanan timbal balik juga tidak seharusnya memberikan keuntungan kepada pasukan yang terbabit.
Katanya lagi: Ia adalah soal keadilan komersial. Satu pasukan tidak mendapat keuntungan daripada tidak menghadiri satu perlawanan, tetapi mendapat keuntungan daripada perlawanan timbal balik.
Asas keputusan lembaga pengarah MFL ialah kemenangan percuma dalam perlawanan nombor satu (perlawanan Piala Sumbangsih). Pampasan dibayar untuk menampung kos, tetapi pasukan yang mendapat kemenangan percuma tidak mempunyai peluang meraih pendapatan. Ertinya mengambil kira keadilan untuk JDT.
Seperti yang kita tahu, kelab bola sepak di Malaysia bergantung kepada pendapatan ini. Keuntungan daripada perlawanan besar digunakan untuk membayar banyak bil, kata Stuart.
Izinkan saya bertanya. Bagaimana nak bayar banyak bil jika perlawanan kecil tidak menarik kedatangan ramai kaki bola? Stadium kosong macam mana? Tiada duit nak bayar bil?
Pada hemat saya, akibat tindakan MFL, tak pasal-pasal hubungan baik Selangor-Johor, khususnya Selangor FC dengan JDT bertukar masam.
Ayuh imbas apa yang berlaku sebelum Selangor FC memutuskan menarik diri daripada Piala Sumbangsih, keputusan mengecewakan JDT, khasnya CEO Alistair Edwards yang mahu Selangor FC menimbang semula keputusan itu.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT menerusi Instagram berkata: In life, the show must go on.
Namun, menurut laporan media, sebelum keputusan dibuat, Selangor FC menghantar permohonan secara rasmi kepada MFL untuk mempertimbangkan cadangan menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih.
Timbalan Presiden FAS, Shahril Mokhtar dipetik berkata, permohonan itu dibuat atas faktor keselamatan.
Pada pandangan saya, jika MFL menuruti permohonan itu dan menunda perlawanan, tidaklah timbul situasi panas sekarang.
Semalam, MFL mengumumkan denda dikurangkan kepada RM60,000, hukuman potong mata dibatalkan serta penyokong boleh menonton perlawanan Selangor FC dan JDT di Stadium MBPJ.
Adakah ini meredakan kepanasan sekarang?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.