Jaga-jaga! Anwar bila-bila je boleh datang spot check tandas sekolah kita. Kalau tandas kotor habislah kita semua kena!
Ini bukan dialog hari ini. Ini perbualan kami dulu semasa sekolah menengah waktu awal-awal Anwar Ibrahim menjawat menteri pendidikan, 39 tahun lalu (1986). Memang waktu itu kisah Anwar Ibrahim masuk sekolah dan melihat tandas pelajar menjadi viral dalam kalangan kami. Desas-desus itu kami dengar dari mulut ke mulut dan berita di suratkhabar.
Untuk itu kami selalu berdoa agar janganlah hendaknya menteri pendidikan itu datang ke sekolah kami dan masuk ke tandas yang kotornya macam jahanam. Memang tandas sekolah kami teruk! Dengan bau hancing-pering lagi busuk, kotor dan tersumbat, ia cukup jijik dan amat meloyakan.
Ini ditambah dengan kisah-kisah hantu yang menghuni di dalamnya. Ada cerita daripada pelajar yang nampak hantu, ada juga cerita cikgu sendiri yang nampak, dan ada juga cerita daripada pengalaman jaga yang bertugas pada waktu malam. Tandas sekolah kami dulu memang cukup pakej sebagai sebuah neraka! Hanya kaki ponteng sahaja yang punya kekebalan boleh selamba melepak dalam tandas sebab malas masuk kelas yang subjeknya tidak diminati.
Saya sudah lama meninggalkan sekolah sebagai murid dan telah 11 tahun juga pencen sebagai guru tetapi apa yang saya lihat kebersihan tandas sekolah dari masa ke masa semakin baik. Banyak perubahan berlaku.
Apabila Anwar naik jadi perdana menteri, didapati kebersihan tandas sekolah masih beliau titikberatkan dan kerajaan memperuntukkan belanja yang besar juga untuk menaiktaraf tandas sekolah. Tapi yang paling penting sebenarnya, perdana menteri menekankan agar pelajar-pelajar mesti mempunyai rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tandas. Saranan inilah yang perlu diambil perhatian serius kerana apabila melihat keadaan di luar pula, ia lebih besar.
Benar, mutu kebersihan tandas awam seperti di stesen bas, pusat beli-belah atau masjid pada hemat saya juga berubah jauh lebih baik berbanding dahulu. Kalau dahulu, kita orang awam berasa fobia jika sakit perut dan mahu masuk menggunakan tandas awam. Kita terpaksa berjuang antara melunaskan hajat dengan menahan siksa berada di dalam tandas yang jijik lagi memalukan.
Bagi saya hal kebersihan tandas yang semakin baik ini terjadi hasil kesedaran yang dipupuk di dalam sistem pendidikan. Mata pelajaran agama yang menganjurkan kebersihan serta mata pelajaran sivik dan moral berjaya menerapkan nilai-nilai murni majoriti rakyat. Perubahan minda berlaku dengan begitu baik sekali.
Namun begitu, hidup ini tidak selalu indah. Manusia itu sendiri ada bermacam-macam perangai. Dalam ramai-ramai yang baik tetap ada yang bermentaliti jamban. Manusia yang membuat kotor dan tidak bertanggungjawab tetap ada.
Tandas di rumah cerminan sesebuah keluarga. Jika tandas di rumah ibu atau bapa sahaja yang membersihkannya dan mereka tak sampai hati hendak menyuruh anak-anak untuk turut sama menjaga maka keluarga ini sedang membina generasi bermentaliti jamban. Anak-anak ini secara tak langsung diajar berlepas tangan dengan minda yang dipasangkan konsep ini bukan kerja aku. Apabila ke semua anak ini berkumpul dalam sebuah mini masyarakat di sekolah maka tidak hairanlah tandas di sekolah akan jadi neraka. Ibu bapa yang tak didik anak-anak jaga kebersihan tandas di rumah pula akan menentang jika anak-anak mereka dilibatkan dalam aktiviti gotong-royong membersihkan tandas sekolah. Bagi mereka kerja-kerja tersebut sudah ada pekerja yang melakukannya dan dibayar gaji, lalu mengapa anak-anak mereka disuruh bermain kotor?
Sikap bukan tanggungjawab saya akan melarat apabila mereka keluar dari bangku sekolah dan menyerap menjadi ahli masyarakat. Ia lebih mudarat lagi dengan tidak menghargai kemudahan awam lain di luar sana.
Betul. Kau tahu berapa kos penyelenggaraan tandas awam di stesen minyak aku? tanya kawan saya sambil merungut. Dia memiliki sebuah stesen minyak di sebuah pekan kecil.
Seminggu sekali mesti kena tukar kepala paip yang longgar atau tercabut. Cuci sisa najis yang ditinggalkan, tak usah cakaplah. Itu mesti ada punya. Nak baiki tandas tersumbat sebab ada yang buang diapers anak, buang pad lagi. Mati aku! Habis duit aku untuk itu saja!
Kalau itu berlaku di pekan kecil bagaimana pula stesen minyak di bandar besar atau di lebuh raya? Bagaimana nak selenggara kos tandas di R&R?
Apabila melihat tandas awam kita rosak dan kotor tidak kira di masjid, restoran, jabatan kerajaan, pusat beli-belah dan kawasan lapangan terbang; kita pun bertanya dari manakah malaon-malaon tak flush dan manusia-manusia yang buang lampin pakai-buang dan tuala wanita dalam lubang jamban ini datang? Apa masalah dengan mental mereka? Apa agama mereka? Sekolah mana dahulu? Bagaimana kesihatan mental mereka? Takkanlah barang sendiri pun orang lain yang kena bersihkan?
Mentaliti jamban ini akan terus merebak dan membentuk tabiat. Tabiat buruk akan berkembang kepada perbuatan-perbuatan lain. Membuat bising tidak hormat orang lain, memotong barisan, buang sampah merata-rata terutama di kawasan perkelahan, tinggalkan troli barang di tempat parkir kereta selepas selesai membeli-belah, meletakkan kenderaan sehingga menghalang kenderaan lain dan bermacam-macam hal yang membuat keselesaan orang lain terganggu.
Anehnya di dalam kereta mereka, rumah mereka, kawasan mereka bersih pula. Sungguh-sungguh mereka jaga. Sebaliknya luar daripada itu, bagi mereka bukan tanggungjawab mereka. Ini kerja orang lain yang dibayar gaji untuk membuatnya dan fikiran paling hebat ialah, aku dah bayar cukai!
Selagi perkara semudah ini masih berlaku selagi itulah kita takkan maju. Kita belum cakap tentang hal-hal lain lagi. Tentang kesedaran bahayanya rasuah, menyelewengkan agama demi kepentingan peribadi atau mengeksploitasi pihak lain demi mencapai keuntungan sendiri. Cukup hal yang awal tu dulu kena selesai baharulah kita boleh cakap tentang masyarakat harmoni. Madani! leter kawan saya, taukeh stesen minyak tadi.
Saya hanya diam membiarkan dia membebel. Sambil itu saya terbayang alangkah baiknya dicipta alat pengesan khas di dalam tandas. Jika orang yang menggunakannya tidak bersihkan, pintu tandas tidak akan terbuka. Biar dia terkurung sehingga kerja pembersihan selesai. Baru padan muka!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.