Imbau 19 Jan lalu. Telah dipersetujui gencatan senjata di Gaza dikuatkuasakan hari itu. Apa yang dilakukan Israel? Mereka tuduh Hamas belot kerana tidak (sebenarnya belum) beri nama tebusan yang akan dibebaskan. Lantas Israel lengahkan gencatan senjata. Israel meneruskan serangan ke atas rakyat Palestin yang sedang riang menyambut gencatan senjata.
Sekarang kita tahu Hamas telah membebaskan rakyat Israel yang ditahannya. Israel pula membebaskan rakyat Palestin yang ia penjarakan tanpa bicara. Ada yang jadi banduan bertahun lamanya. Banduan termasuk wanita dan kanak kanak semuda usia 12 tahun. Israel tidak pernah umum apa kesalahan mereka.
Dengan pembebasan tahanan kedua-dua pihak, ertinya gencatan senjata berkuat kuasa. Apa pula dilakukan Israel? Tentera mereka melancarkan gerakan yang dinamakan Operation Iron Wall. Kononnya untuk memburu kumpulan militan Palestin. Akibatnya lagi rakyat Palestin dibunuh.
Dalam erti kata lain, sementara gencatan senjata di Gaza dikekalkan, keganasan dilakukan Israel di luar Gaza. Memanglah gencatan senjata yang dirangka oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat dan dipersetujui Hamas dan Israel sendiri hanya membabitkan Gaza tetapi jika benar ikhlas mahu keamanan Israel tidak akan melakukan apa-apa serangan di mana-mana pun. Tetapi Israel tetap menyerang. Mereka kononnya lurus bendul. Hanya turuti perjanjian mengenai Gaza sahaja. Lalu di luar Gaza, OK boleh serang. Itu jelas pendirian Israel.
Menurut beberapa pemerhati Timur Tengah yang ditemuramah Al Jazeera, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mahu melanjutkan perang ke atas Gaza kerana beliau menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah Tel Aviv. Perang Gaza menyelamatkannya sehingga kini. Tumpuan rakyat Israel beralih daripada kes rasuah kepada memerangi Gaza. Namun Netanyahu terpaksa akur akan gencatan senjata kerana didesak rakyat sendiri supaya tebusan Israel dibebaskan Hamas.
Jelas langkah Netanyahu seterusnya berikutan gencatan senjata di Gaza ialah mengalih perhatian rakyat Israel kepada usaha memburu kumpulan militan di Jenin. Pedulikan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh atau dibunuh asalkan matlamat tercapai.
Perlu diingat gencatan senjata Gaza itu sendiri disifatkan sangat rapuh. Israel hanya memerlukan sedikit alasan untuk kembali menyerang. Gencatan senjata itu umum tahu dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama yang sedang berlangsung diberi tempoh 45 hari untuk selesai. Ia membabitkan pertukaran rakyat Israel yang dijadikan tebusan oleh Hamas dan rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel.
Fasa kedua mengenai permanent ceasefire serta pengunduran Israel dari Gaza. Fasa ketiga ialah berhubung proses pembangunan semula Gaza selama tiga hingga lima tahun.
Namun parti pelampau aliran kanan dalam pentadbiran Netanyahu termasuk beberapa menteri mahu perang dilancarkan sebaik sahaja fasa pertama gencatan senjata selesai. Dalam erti kata lain mereka mahu menyerang dan mengganas sebaik sahaja Hamas menyerahkan semua tebusan.
Oleh itu sementara tunggu perkembangan gencatan senjata di Gaza, Israel lancar Operasi Iron Wall. Semasa artikel ini ditulis keganasan sedang berlaku di Tebing Barat khususnya di Jenin.
Menurut Israel Defence Forces, the aims of the operation are to preserve its freedom of action in the West Bank, to neutralize militant infrastructure and to eliminate imminent threats. Kata-kata yang sama digunakan untuk menghalalkan serangan ke atas Gaza bermula 7 Okt 2024.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyifatkan kekerasan Israel itu tidak wajar dan berlebihan. Lantas PBB bimbang keganasan di Tebing Barat akan membahayakan gencatan senjata di Gaza.
Akhbar UK The Guardian memetik jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Thameen al-Kheeten, melihat Operasi Iron Wall sebagai gerakan maut apabila Israel menyerang kem pelarian di Jenin dan mengepung hospital berdekatan.
We are deeply concerned by the use of unlawful lethal force in Jenin in the occupied West Bank, kata beliau yang dilaporkan The Guardian. Beliau mengkritik methods and means developed for war fighting in violation of human rights law this includes multiple airstrikes and apparent random shooting of unarmed residents attempting to flee or find safety.
Ertinya Israel menggunakan taktik perang di Tebing Barat. Ertinya Israel sudah melancar perang ke atas kawasan itu. Saya ulangi apa yang dikata jurucakap PBB tadi yakni penduduk Jenin yang tidak bersenjata yang mahu menyelamatkan diri ditembak sewenangnya. Realitinya seperti dikatakan tadi bilangan rakyat Palestin yang menjadi korban terus meningkat.
Bukanlah sesuatu yang mustahil atau memeranjatkan Israel akan melakukan operasi ala Iron Wall di lain kawasan di wilayah Palestin atas alasan memburu kumpulan militan. Kesimpulannya bertambah ramai rakyat Palestin akan dibunuh.
Tajuk artikel ini bagi saya menceritakan segala-galanya. Lagu ciptaan John Lennon yang saya maksudkan ialah give peace a chance. Jelas Israel tidak suka keamanan dan pendamaian.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.