Apa yang tidak dijanjikan jurulatih Kim Pan-Gon daripada Harimau Malaya akan mengamuk di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) hinggalah kepada keupayaan barisan pemainnya memenuhi tuntutan mendapatkan tujuh gol tanpa balas ke atas Chinese Taipei bagi memburu tiket ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Apakah penyokong tegar atau ekor Harimau Malaya termakan kata-katanya? Jawapan mereka lantang mengatakan tidak dengan kehadiran cuma 14,731 penyokong di stadium yang berkapasiti 87,411 orang.
Ini bermakna hanya kira-kira 17 peratus tempat duduk yang terisi malam kelmarin seolah-olah selebihnya yang tidak hadir itu lebih bijak meramalkan daripada Pan Gon sendiri.
Bukan takat Harimau Malaya gagal menghambat matlamat tujuh golnya, malah mereka yang jelas gemuruh oleh tekanan sedemikian lebih dahulu bolos kepada jaringan penyerang lawan Yu Yao-Hsing hanya 20 minit selepas sepak mula untuk barisan tuan rumah itu terkapai-kapai dan menuju ke bilik persalinan dengan ketinggalan 0-1. Daripada asalnya bermatlamat tujuh gol tanpa bolos, tugas mereka bertambah sulit untuk mendapatkan lapan gol dalam 45 minit kedua.
Hanya tiga gol yang mampu didapatkan menerusi Safawi Rasid (m-53), Paulo Josue (69) dan pemain gantian Adib Raop (90+6) untuk Harimau Malaya ditunjukkan pintu keluar dalam perebutan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 meski Malaysia masih berpeluang mengintai baki enam slot dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Ia bukan pun kali pertama Malaysia terkandas awal dalam aksi kelayakan Piala Dunia boleh disimpulkan kita sudah terbiasa dengannya hingga tiada siapa sebenarnya yang meyakini skuad kita akan mara jauh. Jika layak ke pusingan ketiga pun, itulah yang akan menjadi garis sempadan dengan kemampuan yang ada. Bukannya tidak patriotik tapi hanya bersikap realistik.
Cuma, apabila ekor Harimau Malaya menunjukkan semakin tidak berminat, itu harus kegagalan lebih besar yang terpaksa ditelan Pan Gon lebih daripada kegagalan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula kekal dengan sikap acuh tak acuh kerana jika sebaliknya, tentu presiden Hamidin Mohd Amin dan barisan kepimpinannya sudah melakukan lebih lagi daripada membiarkan Pan Gon bergantung nasib kepada persiapan ala kadar.
Bukannya ekor Harimau Malaya tidak sedar peri pentingnya perlawanan dengan Chinese Taipei itu. Juga bukannya mereka alpa kehadiran mereka sangat ditagih dengan beramai-ramai menghangatkan suasana, bersorak memberikan semangat bagi mengerah Harimau Malaya mengejar matlamat hampir mustahil mereka tapi jelas kepercayaan mereka terhadap pasukan sudah terhakis.
Kita teruja dengan semangat seorang penyokong berambut perang dari Melaka yang sanggup menjual motosikalnya untuk biaya mengiringi perjuangan Harimau Malaya dalam peringkat kumpulan Piala Asia di Qatar dari 16-25 Jan lalu.
Sebaliknya, semangat seumpamanya sudah lenyap malam kelmarin dengan hanya 7,000 tiket terjual sehari sebelum perlawanan dan jumlahnya meningkat sekali ganda pada hari perlawanan. Tapi trend ini sebenarnya sudah dilihat daripada perlawanan dengan Kyrgyzstan yang dimenangi Malaysia 4-3 di SNBJ pada 16 Nov 2023 apabila hanya 17,142 penyokong hadir.
Bilangan itu meningkat sedikit kepada 26,000 penonton ketika menjadi tuan rumah kepada Oman pada 26 Mac lalu barangkali dengan jangkaan Harimau Malaya mampu menterbalikkan keadaan selepas tewas dengan keputusan serupa di Muscat empat hari sebelumnya. Apabila itu tidak berlaku, kehadiran sekadar 14,731 penyokong malam kelmarin menyerlahkan kekecewaan mereka terhadap pasukan yang tempang di barisan serangan tanpa Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Romel Morales di samping penjaga gol Syihan Hazmi Mohamed yang semuanya cedera.
Pan Gon dan barisan pemainnya harus merindukan kehangatan sokongan yang terngiang-ngiang daripada Kejohanan AFF 2022 apabila 29,961 penyokong menyaksikan Malaysia membenam Laos 5-0 pada 24 Dis 2022, disusuli 65,147 lagi ketika mengalahkan Singapura pada 3 Jan 2023 dan 62,989 dalam separuh akhir pertama yang dimenangi 1-0 ke atas Thailand.
Jumlah kehadiran terbesar dicatatkan apabila Malaysia yang menang tipis 3-2 ke atas Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Gelora Bung Karno pada 5 Sept 2019 memuncakkan perlawanan timbal balik di SNBJ pada 19 Nov 2019 dengan 75,044 penyokong hadir menyaksikan dua gol Safawi Rasid membenam skuad Garuda itu 2-0.
Dalam pada itu pun, ketua jurulatih Chinese Taipei Gary White menyandarkan kekalahan 1-3 pasukannya malam kelmarin kepada Ultras Malaya dan ekor Harimau Malaya yang dikatakannya mencetuskan atmosfera menakjubkan di sebalik bilangan mereka kurang daripada 15,000 orang.
Penyokong anda sangat menakjubkan dan anda patut berbangga dengan mereka, kata White pada sidang media selepas perlawanan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana reaksinya jika jumlah yang hadir melebihi 70,000 orang seperti pada 2019 itu.
Kesudahannya, kegagalan Malaysia mendapatkan kemenangan dengan kelebihan tujuh gol malam kelmarin tidak meninggalkan banyak makna kerana Kyrgyzstan dapat mengikat Oman 1-1 di Muscat yang sepak mulanya adalah pada tengah malam sejam selepas berakhir aksi di SNBJ. Keputusan itu mengekalkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan D dengan 10 mata untuk merelakan Oman dan Kyrgyzstan mara ke pusingan ketiga, masing-masing dengan 13 dan 11 mata.
Malah, kegagalan Harimau Malaya itu sebenarnya sudah pun terlakar lebih awal sewaktu tewas 0-2 berturut-turut kepada Oman dalam tempoh lima hari bermula di Muscat pada 22 Mac. Hamidin kemudian terpaksa menepis dakwaan bahawa dua kekalahan kepada Oman itu disebabkan segala permintaan Pan-gon tidak ditunaikan seperti dinyatakan dalam surat layang yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan FAM akhir Mac lalu.
Kata presiden FAM, fasa persediaan kurang ideal yang dilalui Harimau Malaya ketika itu disebabkan masalah teknikal pemain tidak dapat dikumpulkan di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hingga perancangan asal untuk menghantar skuad kebangsaan menjalani kem latihan pusat dan bermain dua perlawanan persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbatal.
Kim Pan Gon minta untuk pergi ke UAE atau mana-mana untuk bermain dua aksi persahabatan dengan kelab (di UAE). Kita cari tetapi ketika kita tengah berunding (ada) beberapa kelab (tempatan) tak nak bagi (lepaskan pemain), tak kan lima orang nak pergi kita memang nak pergi awal (ke UAE).
Saya juga cakap dengan Kim Pan-gon kalau boleh tak nak lawan dengan kelab, nak lawan dengan negara tetapi masa itu di luar kalendar perlawanan antarabangsa FIFA (dan) disebabkan itu kita pergi awal ke Oman, katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di Subang Jaya 1 Apr lalu.
Bolehkah Harimau Malaya disandarkan harapan untuk mara jauh dengan persiapan tangkap muat? Kini, selepas gagal meneruskan kemaraan dalam kelayakan Piala Dunia, apa yang tinggal ialah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang menawarkan enam slot untuk jadi rebutan.
Mengikut format Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sejumlah 24 pasukan 3 pasukan ranking terbaik yang terkandas dalam pusingan pertama, disertai 18 pasukan di tangga ketiga dan keempat kumpulan dalam pusingan kedua serta 3 pemenang daripada pusingan play-off akan dibahagikan kepada 6 kumpulan mengandungi empat pasukan setiap satu untuk bermain secara timbal balik, dengan pemenang setiap kumpulan akan mengisi 6 slot ke pusingan akhir di Arab Saudi pada 2027.
Ia tidak akan mudah kerana pusingan ketiga itu akan menampilkan pasukan-pasukan seperti India, Afghanistan, Syria, Myanmar, Thailand, Singapura, Chinese Taipei, Turkmenistan, Hong Kong, Vietnam, Filipina, Tajikistan, Pakistan, Yemen, Nepal, Lebanon dan Bangladesh.
Lagi cepat Pan Gon dapat mengembalikan kepercayaan penyokong semula, lagi baiklah untuk pasukan ketika itu nanti kerana sukar membayangkan Harimau Malaya meneruskan perjuangan dengan ekornya terputus.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.