Dalam mengumumkan penggantungan 10 hari ke atas Awang Hashim daripada sidang Dewan Rakyat pada Khamis, Speaker Johari Abdul menunjukkan beliau bukan seorang yang boleh diperkotak-katikkan atau tidak diambil serius.
Pada masa sama, beliau tetap mendengar pandangan ahli Dewan Rakyat sebelum mengumumkan keputusan akhirnya di sebalik ia tidak dapat memuaskan hati semua terutama blok pembangkang yang tidak mahu ada antara rakan mereka dikenakan tindakan sedemikian.
Saya cepat marah. Tolonglah jangan cabar saya, kata Johari selepas beberapa kali memberi amaran kepada Ahli Parlimen Pendang itu supaya memohon maaf kepadanya dan menarik balik dakwaan negatif berbaur penghinaan dibuatnya terhadap speaker menerusi TikTok, 18 Julai lalu.
Susulan penggantungan Awang itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan Johari dengan alasan bahawa apa-apa kesalahan Ahli Parlimen di luar Dewan boleh diambil tindakan sivil, saman atau dilapor kepada polis dan bukan diambil tindakan dalam Dewan.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar bukan antara ahli dewan yang bangun berdiri untuk berbahas sebelum tindakan menggantung Awang diputuskan.
Ahli-Ahli Parlimen kena berjaga-jaga, setiap perkataan diperhatikan oleh speaker. Beliau akan pantau dan ambil tindakan dalam Dewan Rakyat. Terbaik! Ini contoh kebebasan bersuara kerajaan Madani, katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam sidang pada hari berkenaan, Johari mengulangi apa yang dianggapnya penghinaan Awang berbunyi: Kezaliman berlaku dalam Parlimen dan luar Parlimen. Dalam Parlimen sekarang dikuasai Tan Sri speaker yang melakukan kezaliman bermula dengan Pendang, kemudian Machang, dan seterusnya jika tidak dihalang daripada sekarang.
Kenyataannya menerusi TikTok itu bukan sahaja dianggap Johari satu dakwaan sangat serius tetapi juga menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan Rakyat.
Diutus surat pada 22 Julai untuk menarik balik kata-katanya itu dan memohon maaf, Awang tidak mengendahkan permintaan speaker. Malah, Johari turut mengambil langkah lain melalui setiausaha Dewan Rakyat dan ketua whip pembangkang supaya Awang tampil memperbetulkan dakwaannya. Itu pun tidak dilayan.
Tindakan Pendang adalah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih dan diamanah menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan Dewan Rakyat, katanya.
Apa jawapan Awang ketika sidang Dewan kelmarin? Saya menghormati Yang Dipertua, cuma saya masih mengingat kenyataan Tan Sri dalam Dewan ini juga: Saya tak peduli kenyataan di luar. Tetapi kalau apa-apa yang berlaku dalam Dewan, itu adalah tanggungjawab saya. Sebab itu saya tak respons sebab (perkara itu) di luar Dewan ini, katanya.
Beberapa ahli pembangkang turut bangun mempertahankannya sehingga timbul pertelingkahan dengan penyokong kerajaan. Dalam keadaan sedemikian pun, Johari tetap memberi peluang kepada kedua-dua pihak memberi pendapat.
Seorang hakim tidak boleh menghakimi dirinya sendiri kerana (timbul) kepentingan yang bercanggah. Saya cadangkan untuk menjaga integriti Tan Sri sebagai seorang speaker yang dianggap sebagai seorang hakim kalau dalam undang-undang, tidak mengendalikan kes Tan Sri sendiri. Itu adalah kepentingan yang bercanggah. Biarlah timbalan kepada Tan Sri mengendalikan perkara ini, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan.
Ini bagaimanapun dibantah Syahredzan Johan (Bangi) yang berhujah: Dalam mahkamah, kalau ada orang menghina mahkamah, menghina hakim, hakim (itu) sendiri boleh ambil tindakan. Apa yang Tan Sri lakukan adalah tepat dan beri mesej kepada orang di luar sana bahawa kita sebenarnya memelihara kesucian Dewan ini.
Sambil mengingatkan speaker mengenai pengalaman 10 tahunnya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat dari 2008-2018, Ronald Kiandee (Beluran) menegur: Kalau tindakan Yang Berhormat Tan Sri menghalau orang dalam Dewan kerana perkara yang berlaku di luar Dewan, sebahagian besar ini (ahli Dewan) akan dihalau keluar. Itu tidak betul.
Ia seolah-olah pengakuannya bahawa ramai ahli pembangkang yang memperlekehkan speaker di luar Dewan jika itu yang dimaksudkannya dengan sebahagian besar akan dihalau keluar.
Seharusnya perkara kelakuan, perkataan, ungkapan dalam Dewan ini, yang berlaku dalam Dewan ini, itu Yang Berhormat (speaker) boleh gunakan kuasa di bawah (Peraturan) 44 untuk menghalau orang. Kalau ini dilakukan sebagai satu precedent (duluan), ini satu precedent yang luar biasa, tambahnya.
Hassan Karim (Pasir Gudang) pula cadangkan perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk memutuskannya supaya speaker tidak terlibat bagi mengelak timbul tanggapan salah.
Tidak manis speaker jatuhkan hukum berkenaan diri sendiri. Sekiranya perkara ini yang berlaku di luar Dewan, ada remedi kepada speaker, iaitu boleh mengambil tindakan mahkamah atau tindakan sivil, katanya.
Keadaan jadi kecoh seketika apabila RSN Rayer (Jelutong), Sany Hamzan (Hulu Langat), Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), Ngeh Koo Ham (Beruas), Chong Zhemin (Kampar) dan Radzi Jidin (Putrajaya), antaranya, bertegang leher.
Menangkis hujah Kiandee, Johari berkata: Sebelum ini, YB Padang Serai (N Surendran) pernah digantung selama enam bulan pada 14 Nov 2013 dan 19 Jun 2014 kerana telah mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat (Pandikar Amin Mulia) semasa dalam sidang media di lobi Parlimen yang telah disiarkan dalam beberapa media. Pada ketika itu YB Beluran telah mempengerusikan majlis mesyuarat pada usul tersebut.
Tidak benarlah ia satu duluan luar biasa seperti didakwa Kiandee kerana duluan itu datang daripada dirinya sendiri.
(Penggantungan) Padang Serai dibuat melalui usul (yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri), bukan macam ni, kata Kiandee mempertahankan dirinya tapi kata-katanya ditenggelami penyokong kerajaan yang bersorak bahawa kedua-duanya penggantungan Surendran dan Awang adalah sama.
Pada 28 Feb lalu, Johari sudah pun mengeluarkan amaran: Saya boleh gantung anda sampai enam bulan, saya akan guna, kali ni saya akan guna. Sesiapa juga yang tak dengar cakap saya, saya akan guna. Jadi hati-hati sebab saya kena uruskan semua ini.
Amaran itu dibuatnya bagi meredakan kekecohan sewaktu sesi perbahasan titah diraja selepas Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) membuat pendedahan bahawa beliau diugut oleh beberapa pihak supaya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Diberikan amaran supaya menarik balik dakwaannya kerana tidak dikemukakan bukti, Wan Saiful terselamat kerana mematuhi arahan berkenaan.
Apakah penggantungan terbaru Awang memberi pengajaran dan tiada lagi Ahli Parlimen akan melakukan kesalahan serupa, tiada siapa akan berasa yakin dengannya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.