Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1223

Sukan SEA 2027 peluang tebus aib

$
0
0

Semalam diumumkan anggaran RM700 juta sebagai kos Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027 - satu jumlah yang akan dikongsi bersama Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang yang akan berganding tenaga mengelolakan sebilangan acara.

Tiga tahun yang berbaki Bangkok tuan rumah tahun depan sebenarnya amat singkat daripada segi penyediaan infrastruktur, persiapan atlet, pemilihan sukarelawan, penetapan logistik dan pencarian rakan penaja tapi untungnya Malaysia boleh bersandar kepada pengalaman kejayaan lalu untuk sekali lagi tampil sebagai tuan rumah cemerlang, baik daripada segi penganjuran mahupun pencapaian atletnya.

Selepas muncul juara keseluruhan pada dua kali terakhir menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2001 (111 pingat emas) dan 2017 (145 pingat emas), kejayaan kontinjen negara akan dinilai dengan sasaran menduduki tempat teratas dalam carta pungutan pingat keseluruhan sekali lagi. Tiada sebarang pengecualian.

Ketika menutup Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak pada 24 Ogos, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran untuk Malaysia muncul juara dengan prestasi terbaik dalam Sukan SEA 2027 dan menggesa agar persiapan dimulakan tanpa berlengah bagi merealisasikannya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pula selepas satu majlis bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam berkata anggaran RM700 juta itu dibuat selepas mengambil kira kos penganjuran ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Sarawak menjadi penyumbang terbesar antara tiga negeri terlibat apabila menanggung separuh kos penganjuran melebihi RM300 juta manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta, sekali gus mengurangkan biaya yang perlu ditanggung kerajaan persekutuan.

Nanti ada empat lokasi, bukannya di Kuala Lumpur sahaja, jadi penjimatan dan tanggungjawab bersama itu wujud. Atlet-atlet dan peminat juga boleh merasai suasana yang lebih berbeza berbanding kebiasaan, katanya sambil menambah ia membuka ruang buat peminat kerana acara-acara sukan tidak tertumpu di satu lokasi.

Namun, Malaysia dipilih Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) dalam mesyuaratnya di Hanoi pada Mei 2022 bagi menggantikan Brunei yang menarik diri daripada menganjurkan temasya 2027 dan penerimaannya diputuskan Jemaah Menteri pada Rabu akan sentiasa dibandingkan dengan ketika kali terakhir menjadi tuan rumah temasya 2017 bertemakan Bangkit Bersama untuk kontinjen negara unggul dengan 145 emas, 92 perak, dan 86 gangsa.

Berbekalkan sokongan padu penyokong di halaman sendiri, tidak disangsikan atlet negara yang berjumlah 844 orang semuanya daripada perserta termuda, Adam Yoong Hanifah, 9, hingga kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berusaha keras sehingga berjaya mengatasi sasaran 111 pingat emas dalam masa hanya seminggu berlangsungnya pertandingan bagi 404 acara daripada 38 sukan.

Ia kali kedua kontinjen negara muncul juara keseluruhan selepas temasya 2001 yang turut berlangsung di Kuala Lumpur. Selaku tuan rumah sebelumnya, Malaysia menduduki tangga kedua pada 1965 dan 1971, kelima pada 1977, dan kembali jadi naib juara pada 1989.

Dalam pada itu, persediaan Malaysia menjadi tuan rumah 2027 turut berlatarbelakangkan pencapaian terburuknya sepanjang sejarah Sukan SEA apabila sekadar menang 34 emas - berbanding sasaran 40 emas untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan di belakang Kemboja dan Singapura dalam temasya di Phnom Penh tahun lalu.

Yeoh ketika itu turut menjadi kecaman kerana menyimpulkan ketidakstabilan politik negara sepanjang lima tahun sebelumnya dianggap dangkal oleh sesetengah pihak turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara. Segala perancangan, peruntukan mahupun persiapan didakwanya terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

Sebelum ini, ada menteri (belia dan sukan) tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi pun tidak sempat. Sebelum buat sudah bertukar dan ada hala tuju baharu hingga sukan menjadi antara sektor yang terkesan, katanya.

Kita tidak tahu untung nasib kontinjen negara dalam temasya 2025 di Bangkok, Chonburi dan Songkhla nanti sama ada mampu menebus catatan hambar di Phnom Penh tetapi pemilihan dan persediaan atlet untuk temasya tahun depan harus menjadi asas untuk mereka mencapai kemuncak di halaman sendiri dua tahun selepas itu.

Diharapkan akan ada lebih kestabilan politik pada 2027 sama ada PRU16 sudah atau belum berlangsung agar segala perancangan pada waktu itu berjalan lancar.

Majlis Sukan Negara (MSN), dalam menyambut baik keputusan menganjurkan temasya 2027 sebagai sesuatu yang positif buat sukan dan industri sukan tempatan, belum memberi bayangan perancangan atau keutamaannya.

Apakah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sekian lama mengamalkan pendekatan menjadikan Sukan SEA sebagai pentas beraksi dan menimba pengalaman buat atlet remaja dan pelapis khususnya dari kalangan atlet SUKMA akan kekal dengan pendirian serupa?

Atau dengan kelebihan sebagai tuan rumah, adakah Malaysia akan melibatkan atlet utama atau profesional yang pernah beraksi di Sukan Olimpik, Komanwel, atau Asia?

Cuma, pendekatan pertama itu akan menyebabkan kontinjen Malaysia sukar mencapai kutipan pingat emas yang lebih banyak manakala yang kedua itu akan meletakkan negara dalam kedudukan lebih baik dalam kutipan pingat antara negara peserta.

Tambahan pula Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak rata-rata dianggap berjaya mencapai matlamat dengan menyaksikan ramai atlet muda semakin mula menyerlahkan potensi dan kemampuan sebenar. Sebanyak tujuh rekod kebangsaan dan 21 rekod baharu kejohanan dipecahkan sekali gus menandakan perkembangan positif buat perkembangan sukan tanah air untuk atlet muda terus diberi pendedahan.

Sebagai perbandingan, negara serantau seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam masih mengekalkan pendekatan menghantar atlet utama mereka ke Sukan SEA. Vietnam terutamanya dilihat begitu serius menjadikan Sukan SEA sebagai pentas untuk membuktikan negara itu sebagai kuasa sukan serantau.

Dalam Sukan Olimpik Paris baru-baru ini, Filipina dan Indonesia boleh bermegah dengan masing-masing dua pingat emas manakala Thailand satu sebagai menunjukkan tiada silapnya perancangan mereka.

Di pihak Malaysia pula, pendekatan menghantar atlet muda dan pelapis dalam Sukan SEA wajar diteruskan di sebalik penumpuan terhadap sukan beprestij dan bertaraf Olimpik atau Asia menjadi keutamaan.

Namun, kita juga tidak boleh lari daripada mengakui Sukan SEA adalah pentas serantau di mana maruah dan martabat negara menjadi taruhan, lebih-lebih lagi Malaysia antara negara termaju di Asia Tenggara.

Kita biarkan kepada Yeoh dan pegawai-pegawai lantikannya atau yang beliau hormati pemilihan mereka mengikut amalan demokrasi dalam persatuan, menentukan hala tuju.

Tapi jangan lupa emas pertama Olimpik yang masih dicari-cari selepas kegagalan terbaharu di Paris dari 26 Jul-11 Ogos lalu boleh bermula dari tahap saingan serendah Sukan SEA sebagai batu loncatan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1223