Dalam kolum saya di sini pada minggu terdahulu, saya telah menulis pandangan saya bahawa terdapat kemungkinan konsep Bumiputera ini datangnya dari fiksyen sebelum diserap dalam wacana politik. Menurut saya, konsep ini mula menjadi masyhur setelah Mas Marco Kartodikromo memperkenalkan Bumiputera dalam novelnya Student Hidjo (1919), di era penerbitan buku-buku Balai Pustaka, di Indonesia. Gagasan ini langsung dipinjam oleh akhbar Utusan Melayu di Singapura, dan tanpa sedar merebak pantas.
Akan tetapi, adakah kaum cendekiawan Melayu tatkala itu menerima sahaja bulat-bulat Bumiputera tanpa mempersoalkan?
Saya tidak fikir konsep ini ditelan sahaja tanpa ada usaha menyaringnya. Salah seorang pemikir Melayu Peranakan yang terkenal dalam tahun 1920-an, Mokhtar Lutfi ada menulis mengenai konsep ini di dalam akhbar Seruan Azhar untuk edisi Jun tahun 1927.
Akhbar ini diterbitkan oleh Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al- Azhar, dan bertindak sebagai lidah rasmi Al-Jamiyyah al-Khairiyyah (nama Arab persatuan di atas). Akhbar atau mungkin majalah ini dicetak dalam tulisan jawi dan diterbitkan secara berkala. Ia hanya bertahan sebanyak 31 keluaran, dan mula diterbitkan pada bulan Oktober 1925. Keluaran terakhir akhbar ini muncul pada bulan Mei 1928. Ia diharamkan oleh penjajah.
Pengarang di akhbar ini bukan calang-calang, antara yang tersohor adalah Muhammad Idris al-Marbawi yang mana kamusnya masih digunakan oleh pelajar sekolah agama di negara kita sehingga hari ini. Yang menariknya, Seruan Azhar telah dicetak oleh Matbaah al- Tarakki, di Kaherah. Suka saya mengingatkan akhbar ini amat terpengaruh dengan idea Salafisme.
Lutfi yang saya sebutkan lebih awal menulis sebuah rencana (mungkin bukan pun rencana, tetapi sekadar catatan) bertajuk Memereksa Bumiputera dengan Bangsa Asing. Ayat pertama catatan beliau itu ialah Pedoman kita bumiputera. Ini bermakna pengarang si Lutfi ini ingin memberi nasihat, malah di atas nasihat, ia mengisyaratkan tulisannya itu satu panduan.
Apa yang dianjurkan oleh Lutfi berkait konsep Bumiputera yang mulai mendapat tempat di Tanah Melayu dan Indonesia ketika itu?
Lutfi menyarankan, biarlah kita bertabiat lemah lembut, pemurah dan penyantun, lurus benar lagi pemaaf sabar dan tetap hati, sunggoh berseri nama negeri dan bangsa kita, senang hati orang yang datang berdagang ka-bumi kita. Dalam erti kata lain, Lutfi menasihatkan supaya orang Bumiputera (watan) agar jangan bersikap keras, sebaliknya dianjurkan supaya mengalu-alukan kehadiran orang berdagang ke tanahair.
Seterusnya Lutfi menyatakan orang Melayu itu patutnya sopan, mahu bergaul dan tidak kedekut, yakni boleh berkongsi. Apatah lagi kita semua manusia makhluk Allah. Tulis Lutfi begini:
Tinggi adab kesopanan kita di-antiru alam. Mudah di dapat teman dan pertolongan: tetapi hal ini kita lakukan kira-nya berhubong dengan adab sopan perchamporan sa-sama hamba Allah. Berhubong dengan harta benda sendiri sa-bagai kata orang biaperi dalam bahasa: Ta hina orang yang kerasta salah orang terpaksatetapi chelaka orang busok hati! Aku bukan di-daya emasbukan pula di-tipu bangsaaku tenggelam di-laut budi.
Maka Lutfi dengan tegas lagi jelas meminta orang Melayu supaya sebaiknya berbudi. Yang Lutfi tidak gunakan ketika itu ialah perkataan rasis, atau perkauman, kerana mungkin tidak timbul pun gejala tersebut tatkala itu.
Apa yang menarik menurut saya adalah konsep bangsa asing yang diperkatakan oleh Lutfi tidak mengacu kepada bangsa Cina atau India (memandangkan mereka hadir beramai-ramai dalam dekad 1920-an) tetapi merujuk kepada penjajah yang menghambakan orang tempatan, selain menzalimi bangsa asal di sini:
Tetapi jika berhubong dengan keselamatan ugama bangsa tanah ayer kemuslihatan raayat umum maka yang berguna bagi memelihara yang demikian. Iaiah hati berani dan chemburu mengetahui bahawa mereka tunangan merbahaya yang akan menjelma ka-tanah tempat darah-nya. Perchayai kapada persediaan tenaga-nya sendiri dan pertolongan bangsaaya. Sifat2 inilah yang di-kehendaki dan di-chari oleh Indonesia-Semenanjong kerana tiada umat yang lepas dari kehambaan kiranya mereka suka menyerah dan menyimpoh kapada yang merampas hak mereka. Dan belum ada satu umat pun di-muka bumi ini yang lepas dari berbagai2 kehambaan dan kezaliman. Kalau bumiputera suka menyerah dan menolong bangsa asing.
Penjajah di sini lebih dihujah sebagai mereka yang merampas hak.
Dalam hal kebimbangan bahawa umat Islam akan kehilangan hak-hak mereka ekoran kehadiran musuh ini, Lutfi meminta orang watan supaya jangan jadi penakut, sebaliknya bekerja dan belajar:
Ada pun yang berhubung dengan pemeliharaan Islam maka tiada berdiri keselamatan Islam apabila penganjor-nya lemah dan penakut, lemah pemandangan dan pendapatannya, penakut akan bertemporan dengan yang memperhamba bangsa-nya, sa-bagai yang tampak masa ini, dan kita mengharap bahawa zaman tutup mata dan penakut zaman menyerah dan menolong bangsa asing melanjutkan pelajaran mereka kapada hak kita dalam keugamaan dan kebangsaan kita, telah lalu dari kita umat Indonesia Seme-nanjung yang berjiwa lebeh kurang enam puloh million, maka belum lama zaman itu berlalu dari kita. Tetapi tahun 1927-lah akan jadi akhir-nya zaman kechelakaan.
Penjajah seterusnya disuarakan sebagai penindas yang akan mengambil hak keugamaan dan kebangsaan.
Ekoran kecaman dan juga seruan revolusioner Seruan Azhar seperti yang saya sentuh di atas, akhbar ini segera dicurigai oleh penjajah Belanda dan diharamkan. Sudah tentu Lutfi tidak terang-terang menyebut yang bangsa asing di sini adalah orang Barat, kuasa kolonial seperti Inggeris dan Belanda. Tetapi kita dapat memahami sendiri, memandangkan Lutfi secara halus membezakan masyarakat Cina dan India itu kelompok yang boleh dialu-alukan, dipesan jangan kita kedekut dan segera diramahi.
Saya percaya sentimen begini adalah kerana Asia untuk orang Asia, dan juga kebencian terhadap penjajah yang makin meluas pada waktu tersebut.
Seruan Azhar sangat menekankan gagasan perpaduan orang watan di Malaysia dan Indonesia, lebih kurangnya cita-cita akhbar dan pelajar Melayu di Mesir waktu itu supaya Malaya dan Indonesia bergabung. Mesti diingat akhbar ini di bawah pengaruh Salafi.
Itulah sebabnya kadang-kala kalau saya membaca berita atau status media sosial segelintir agamawan dengan kecenderungan Salafi yang sangat anti bangsa Cina dan India, saya akan berdecit dan berasa kesal lantaran mereka nampaknya terputus dari rantaian episod sejarah bangsa. Lebih aneh kalau Pseudo Salafi ini sangat memuja pula mubaligh satu ideologi dengan mereka, lebih-lebih yang datang dari Barat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.