Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221

PN terus dalam penafian

$
0
0

Pada Rabu, tiga hari menjelang PRK Ayer Kuning kelmarin, Tuan Ibrahim Tuan Man tanpa berseloroh berkata penduduk di DUN berkenaan belum pernah merasa dipimpin calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN). Kerana itu, kata timbalan presiden PAS, mereka tidak tahu apa kekurangannya diwakili Barisan Nasional (BN) selama sembilan penggal berturut-turut sejak 1986.

Namun, sebagai menjawab pelawaannya untuk merasai sendiri macam mana berwakil rakyatkan calon PAS sebagaimana di negeri lain, pengundi Ayer Kuning sebaliknya memberi calon BN Mohamad Yusri Bakir kemenangan dengan majoriti lebih besar dibandingkan dengan PRU15 lalu.

Maknanya bukan setakat pengundi berkenaan tak pernah merasa, malah mereka tak ingin pun diwakili PAS dengan memberikan mesej lantang dan keras apabila memenangkan Yusri (11,065) dengan majoriti 5,006 undi ke atas calon PAS Abdul Muhaimin Malek (6,059) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS (1,106).

Pada PRU15, calon BN Ishsam Shahruddin menang dengan 9,088 undi dan majoriti 2,213 dalam pertembungan lima penjuru ketika itu. Majoriti yang diraih Yusri kelmarin dua kali ganda lebih besar daripada itu. Apa kata Tuan Ibrahim selepas keputusan itu? Peratusan keluar mengundi yang rendah 58.07% berbanding 74.85% lebih dua tahun lalu menyumbang kepada kekalahan calon PN.

Jadi, calon BN menang dengan majoriti yang meningkat itu adalah hasil peratus keluar mengundi yang berbeza ke atau macam mana?

Kita tahu setiap kali PRK diadakan, peratusan keluar mengundi sangat rendah dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sepatutnya mengambil tindakan supaya ia dapat mencerminkan realiti sebenar tahap sokongan, katanya. Dah SPR pula dipersalahkan.

Bukan sekadar timbalan presiden PAS itu yang mengada-adakan alasan, malah rakan-rakan kepimpinannya dalam PN turut berada dalam penafian. Sambil mempertahankan PAS masih berjaya mengekalkan jumlah undi pada pilihan raya sebelum ini (sebenarnya merosot 753 undi), Tuan Ibrahim nampaknya tidak dapat menerima kekalahan.

Daripada menganalisis punca kekalahan Muhaimin, Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebaliknya sinis mempersoalkan 18,000 undi yang disasarkan Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad kerana apa yang dicapai Yusri kurang 6,935 undi darpada sasaran berkenaan.

Ini pun satu hal juga kerana orang yang menyindir itu adalah dari pihak yang kalah terbalik pula jadinya. Lagipun ia sudah dijelaskan Saarani bahawa sasaran 18,000 undi itu berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi, sebaliknya hanya 58% yang keluar.

Idris nak ikut sibuk BN tidak menang sebesar diharapkan itu kenapa sedangkan calon partinya sendiri kalah 5,000 undi yang sepatutnya dicari jawapannya secara terperinci di samping beliau tidak berpuas hati dengan mendakwa mendakwa berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan pada PRK itu.

Kalau BN tak guna (jentera kerajaan), itu luar biasa dan itu berita. Sebab itu pada saya kita tak nak buat laporan, buang masa tapi rakyat boleh menilai, katanya.

Rasanya macam dah berulang kali kita dengar, apatah lagi PN kalah dua PRK berturut-turut di Nenggiri dan Mahkota sebelumnya.

Tak lengkap rasanya kalau tidak ditelaah apa pula alasan Sanusi Nor ketua pengarah pilihan raya PAS pusat yang tiba-tiba mengisytiharkan dirinya memiliki darah Cina tapi mahu riwayat politik DAP di negara ini ditamatkan bermula di PRK Ayer Kuning.

Secara keseluruhan, katanya, sokongan terhadap PN tidak merosot dan hanya menurun kira-kira 800 undi sahaja seolah-olah jumlah itu kecil dibandingkan dengan 6,059 undi yang diraiih calonnya.

Dengan merosotnya peratusan keluar mengundi (58.07%), undi kita kekal cuma kurang 800, keputusan yang bagus saya rasa, katanya. Bagus pada penilaiannya tetapi tetap kalah juga.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Annuar Musa harus lebih kelakar dengan hujah kononnya kekuatan sokongan Pakatan Harapan-BN sudah melemah walaupun gabungan itu masih menang. Ini didasarkannya kepada majoriti PH-BN pada PRU2022 sebanyak 9,046 undi (satu kesilapan kerana majoriti ketika itu 2,213 undi) sudah menyusut 4,030 kepada 5,016 undi kali ini. Sebetulnya majoriti PH-BN meningkat sebanyak 2,803 undi.

Apa yang Annuar turut terlepas pandang ialah PN sekadar mengatasi BN dan PSM di pusat daerah mengundi (PDM) di Kampung Tanjong Keramat. Malah, calon PSM berjaya mengatasi calon PN di tiga PDM iaitu Banir Utara, Kampung Coldstream dan Ayer Kuning Selatan.

Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyimpulkan majoriti lebih besar diraih BN-PH menunjukkan kerjasama dua gabungan itu berhasil di Perak, yang secara berkesan menolak dakwaan PN bahawa pakatan itu tidak berfungsi dengan baik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat pergantungan besar kepada PAS dan retorik memperjuangkan isu Melayu mungkin menyumbang kepada kekalahan calon PN di samping menambah strategi PN kurang berkesan kepada pengundi Melayu sederhana dan demografi pelbagai etnik di Ayer Kuning.

Tapi, tinggalkan pengamatan paling tajam kepada Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali yang merumuskan kesombongan pemimpin PN yang gagal mendapatkan maklum balas dari segi strategi dan isu daripada pemegang taruh sebagai punca kekalahan calon parti itu.

PN, tambahnya, terlalu ghairah dengan memainkan sentimen UmDAP untuk timbulkan kebencian orang Melayu kerana Umno bersekongkol dengan DAP dan ditambah pula dengan isu ladang babi.

Isu UmDAP dan babi jadi isu utama (adalah) strategi bodoh dan bangang. Permainan politik sentimen sahaja sudah ketingalan zaman kerana anak muda generasi sekarang dan zaman AI (kecerdasan buatan).

Isu ini BN untung percuma kerana PN secara tidak disedari membantu pengundi Cina benci PN manakala undi Melayu Umno akar umbi kekal tidak berubah walaupun berbagai isu yang Umno hadapi, katanya dipetik Malaysiakini.

Rakyat memilih kestabilan apabila beri kepercayaan kepada BN di Ayer Kuning, terutama di PDM (Kampung Coldstream) yang tidak pernah dimenangi sepanjang lapan pilihan raya sebelum ini, kata Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani.

Jadi apa yang kita nak cakap, kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan baharu dan sudah tentu ramai syak wasangka. Namun, tugas kita adalah menunjukkan kepada masyarakat apa sahaja perbezaan politik, paling penting negara kita stabil, tambahnya.

Pada analisis akhirnya, PN hendaklah tidak terus memberi alasan, sebaliknya menerima hakikat kekalahan mereka seperti talkin diungkapkan Saarani sebagai menjawab talkin Idris dalam Ceramah Grand Finale PN pada Khamis lepas.

Saya nak jawab bacaan talkin yang dibaca oleh Ustaz Idris (Ahmad), terimalah bahawa BN menang 11,065 undi itu benar, terimalah hakikat bahawa mereka kurang undi daripada PRU15 itu benar, bahawa orang Ayer Kuning menolak mereka itu benar, katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Bersama Menteri Besar di Ipoh pada Ahad.

Apakah kepimpinan PN mahu mendengar? Terserahlah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221