Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221

Patut pun PN terkucil lagi

$
0
0

Bersangka menang di pentas ceramah tapi tewas di peti undi, Perikatan Nasional (PN) hanya dapat menyalahkan diri sendiri kerana tidak pernah mahu belajar daripada kesilapan hingga mengalami kekalahan tiga PRK berturut-turut pada Sabtu.

Calonnya Muhaimin Malek (6,059) kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) Yusri Bakir (11,065) dengan majoriti 5,006 undi berbanding 2,213 pada PRU 2022 walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah, iaitu 58.07% berbanding 74.85%. Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) KS Bawani meraih 1,106 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi barangkali memberikan kesimpulan terbaik bahawa PRK Ayer Kuning menunjukkan pengundi menolak politik kebencian dan sebaliknya memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan berwibawa.

Kemenangan ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai, katanya dalam catatan di X sambil berbesar hati kerana 10 daripada 11 pusat daerah mengundi (PDM) yang tewas kepada pembangkang pada PRU lalu kini kembali ke pangkuan BN.

BN dalam diam bermuhasabah dan membaiki kelemahan ketika ia dikutuk, diperlekeh dan dikatakan tiada taring. Yang diam itu telah bersuara di peti undi, kata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh di Facebook pula.

Sudah jadi kelaziman di pihak yang menang, apa saja yang ia kata akan diterima sebagai benar belaka manakala pihak yang kalah suka atau tidak perlu menerima keputusan pengundi di sebalik apa pun alasan ditawarkan bagi mengubati hati sendiri.

Sokongan akar umbi kepada PN tidak terjejas walaupun diasak jentera kerajaan. Hakikatnya, PN kekal teguh dengan undi teras sekitar 5,000 hingga 6,000, kata Pemuda PAS dalam kenyataan di Facebook.

Cuma apa yang enggan dinyatakannya ialah undi BN sudah meningkat daripada 9,000 kepada 11,000 dan itu yang memberi perbezaan dalam menentukan pemenang kali ini.

Pengerusi PN Perak Ahmad Faizal Azumu dalam menyusuli kenyataan sekadar menyedapkan hati sendiri berkata sokongan pengundi terhadap PN tetap kekal, sebaliknya BN-Pakatan Harapan (PH) semakin kehilangan kepercayaan rakyat kerana undi gabungan mereka merosot. Tapi bukankah peratus keluar mengundi pun merosot?

Jawapan terbaik kepadanya dibuat Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad yang mengungkapkan: Kemenangan calon BN menjadi bukti jelas sokongan pengundi terhadap agenda kestabilan yang dibawa kerajaan perpaduan selain mengutamakan keharmonian demi masa depan lebih baik.

Ia menggambarkan bagaimana pengundi Ayer Kuning ini cintakan perdamaian, tidak suka kepada provokasi, tidak suka cari gaduh, dan mereka menolak sesiapa juga buat fitnah, tambahnya sebagai menyimpulkan itulah naratif dibawa pembangkang sehingga mengakibatkan kekalahannya.

Kemenangan ini membuktikan rakyat menolak politik berasaskan kebencian, permusuhan, memaki-hamun dan politik perkauman yang melampau, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dengan merujuk ia sebagai meneruskan kejayaan meraih sokongan rakyat selepas PRK Nenggiri (17 Ogos) dan Mahkota (28 Sept).

Keputusan PRK semalam juga mengeyakan analisis Ilham Centre bahawa pengundi tidak lagi mahu mendengar janji-janji politik yang tidak realistik, sebaliknya mahu melihat janji yang mampu dilaksanakan secara objektif dan munasabah.

Mereka tidak lagi mudah menerima slogan retorik yang diketengahkan dalam ceramah kempen, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar dalam temu bual Astro Awani.

Benar seperti dapatan badan penganalisis bebas itu, BN tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning kecuali meragui sasaran 18,000 undi, tambahan PRK lazimnya mencatat peratus keluar mengundi lebih rendah daripada PRU.

Ini diperjelaskan Saarani bahawa sasaran raih sekurang-kurangnya 18,000 undi itu berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi.

Jadi kalau 75% maknanya 24,000 keluar mengundi. Kalau PN kekal dapat undi sekitar 6,000 undi, 18,000 undi itu kita punya. Itulah asalnya sasaran awal, katanya pada sidang media selepas keputusan diumumkan.

Pada penghujungnya, PN yang bunyinya gah di ceramah mega dan ceramah grand finale dilaporkan kurang dapat sambutan rupa-rupanya tidak meninggalkan banyak kesan kepada pemilih daripada pelbagai naratif yang dibawanya.

Seperti pandangan Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Yusri Ibrahim, antara kelemahan calon PN adalah kerana kerusi DUN Ayer Kuning bukan kawasan kubu PAS dan Bersatu seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tindakan PN menggunakan isu ladang babi turut disifatkannya sebagai senjata makan tuan kerana perkara tersebut sudah lama dibangkitkan masyarakat setempat di samping PAS dan Bersatu sendiri tidak melakukan sebarang tindakan berkesan untuk menangani isu itu ketika mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Lebih buruk apabila PN menggunakan isu pencemaran najis babi tetapi diubah suai menjadi isu berbaur perkauman yang bertujuan meraih simpati pengundi Melayu pada ketika mereka berisiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu Cina 21.99%, India 14.3% dan kumpulan lain 8.07%.

Isu laungan UmDAP mantap oleh pemimpin DAP Nga Kor Ming ketika berkempen juga nampaknya tidak berbekas, ditambah dengan serangan bertalu-talu terhadap DAP yang didakwa perosak perpaduan dan keharmonian kaum yang sekian lama terjalin di negara ini.

Sambil itu pengundi Melayu (55.64%) turut diajak menolak BN rakan DAP dalam kerajaan perpaduan sehingga sering digambarkan umpama lembu dicucuk hidung dan menurutkan saja kemahuan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sudah tidak laku. BN dapat tambahan 2,000 undi lagi.

Jelas PN tidak belajar daripada kesilapan dalam PRK Kuala Kubu Baharu (11 Mei). Ketika itu Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mengungkit isu pendidikan vernakular calon DAP Pang Sock Tao.

Presiden PAS Hadi Awang pula mendakwa DAP yang lahir daripada PAP di Singapura mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik hingga boleh menyebabkan kekacauan di dalam negara.

Naratif itu diulangi PN termasuk oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Nor yang mendakwa dirinya daripada keturunan Cina dalam ceramahnya di Ayer Kuning di sebalik mengetahui ada 7,000 pengundi Cina di DUN berkenaan.

Barangkali tapi hanya barangkali, PN pun sudah tahu dari awal mereka tidak akan mampu menang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221