Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221

Berlapang dadalah, Muhyiddin

$
0
0

Dari PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei hingga PRK Mahkota pada 28 Sept tahun lalu, penolakan total Muhyiddin Yassin terhadap memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang kekal konsisten tanpa sedikit pun bertolak-ansur.

Melebihi syarat-syarat yang terkandung di dalamnya atau ia sekadar dijadikan alasan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu terus mempersoalkan keikhlasan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim dalam menawarkan peruntukan berkenaan.

Jika Ikhlas, ulanginya, peruntukan hendaklah diberi tanpa sebarang syarat yang mengikat. Jika tidak pula, kata Muhyiddin lagi, tidak mengapalah kerana pembangkang boleh terus hidup tanpa peruntukan seperti yang telah dilalui mereka sejak lebih dua tahun lalu.

Kalau dia (kerajaan) ikhlas, dia tak payah buat MoU. Waktu zaman kerajaan PN mentadbir dulu semasa Covid-19, kita bagi peruntukan tanpa ada MoU, CSA (perjanjian keyakinan dan perbekalan) atau apa-apa perjanjian, katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Baharu pada 21 April tahun lalu.

Tak ada, tak apalah Ahli Parlimen kita (pembangkang) berlapang dada. Tidak apa anda tidak berikan (peruntukan) kepada kami, kami boleh teruskan berjuang untuk rakyat kami akan tolong buat apa yang termampu, ulanginya pada perjumpaan dan sesi dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh individu di Kluang pada 20 Sept lalu.

Tidak hanya PN pada 15 Sept lalu sebulat suara menolak MoU ditawarkan kerajaan yang dilihat menutup pintu rundingan malah Muhyiddin menegaskan pihaknya tidak akan mengemukakan sebarang cadangan balas yang dianggapnya hanya membuang masa kerana kesudahannya didakwa akan tetap sama.

Tawaran Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada 26 Feb lalu untuk kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa agar kedua-dua pihak dapat kembali ke meja rundingan turut dengan angkuh ditolaknya atas alasan pembangkang ada maruah dan pendirian.

Peruntukan itu untuk rakyat, bukan kegunaan peribadi. Masa saya jadi perdana menteri, saya beri semua (Ahli Parlimen) peruntukan. Persoalan sekarang sama ada mereka (kerajaan) ikhlas ke tak. Kalau mereka tak nak beri tak apa. Kalau nak bagi peruntukan, buat saja. Tak perlu tubuh jawatankuasa, katanya.

Tetapi itu hanya pendirian Muhyiddin yang tidak semestinya dikongsi ahli Parlimen pembangkang yang lain. Buktinya permintaan peruntukan terus dibangkitkan secara tegas mahupun sinis daripada wakil pembangkang seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Shahidan Kassim, Tuan Ibrahim Tuan Man, Hamzah Zainudin hinggalah kepada timbalan pengerusi PN Hadi Awang dalam sidang Dewan Rakyat.

Tidak menghairankan jika ada yang mendakwa terpaksa berhutang di sebalik gaji dan elaun ahli Parlimen boleh mencecah hingga RM40,000 sebulan kerana mereka bukan orang senang seperti Muhyiddin. Ketika menjadi perdana menteri kelapan dari Mac 2020 sehingga Ogos 2021, beliau dikatakan membuat perisytiharan membabitkan gaji bulanan RM93,841.65 di samping memiliki aset bernilai RM10 juta hingga RM15 juta.

Maka harus benarlah tanggapan andai Ahli Parlimen pembangkang tercari-cari kepada siapa kesalahan patut diletakkan sebagai punca mereka masih tidak mendapat peruntukan, ia sepatutnya dihalakan kepada Muhyiddin dan bukan sesiapa yang lain.

Presiden Bersatu itu mungkin berdalih kononnya ketika menjadi perdana menteri beliau beri peruntukan kepada semua Ahli Parlimen. Rekod bagaimanapun menunjukkan Muhyiddin pada 28 Jun 2021 hanya meluluskan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen bagi melaksanakan bantuan bakul makanan untuk rakyat terjejas akibat Covid-19 dan bukannya dana pembangunan kawasan (CDF) sebanyak RM4 juta setahun atau RM20 juta satu penggal.

Berlawanan dengan dakwaannya itu, pembangkang ketika Anwar Ibrahim menjadi ketuanya tidak pernah mendapat peruntukan sepanjang PN menjadi kerajaan sehinggalah mereka menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sewaktu Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri pada 13 Sept 2021.

Apa bezanya pembangkang ketika itu yang sanggup tampil berunding berbanding keengganan PN ketika ini yang dilihat mahu terus memainkan naratif kerajaan Anwar zalim dan mengamalkan politik dendam? Bezanya ialah mereka sanggup mengetepikan ego demi mendapatkan peruntukan dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Sebaliknya, apa yang jelas ialah semakin pembangkang menolak syarat-syarat MoU dan jawatankuasa berkait peruntukan sejak Anwar mengambil alih Putrajaya, semakin terbuka pula PMX mempelawa mereka untuk kembali ke meja rundingan.

Tidak ada gunanya mengkritik bahawa syarat MoU terlalu ketat dan tidak adil jika tidak mahu duduk berunding. Saya dahulu lima mesyuarat semasa jadi pembangkang. Mesyuaratlah dahulu, draf boleh dipinda. Ini hendak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu, kata perdana menteri pada Isnin.

Terbaharu, Muhyiddin kata PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan dalam isu peruntukan pembangkang MoU dikemukakan dianggap luar biasa dan ketat seolah-olah mereka terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Namun, seperti disarankan Fadillah, PN patut menyatakan secara khusus bahagian mana yang dikatakan luar biasa dan ketat di samping menawarkan cadangan balas untuk dibincangkan.

Bagi kita tidak ketat. Kalau dikatakan ketat, apa? Apa juga cadangannya? Kalau (sudah) ditolak, tidak ada cadangan, apa nak dibincang? soalnya.

Atau seperti dibangkitkan oleh pengarah komunikasi Pemuda PKR Haziq Azfar, apakah Muhyiddin enggan mengisytiharkan harta atau enggan terikat dengan isu 3R (kaum, agama, raja-raja) yang kerap menjadi modal jajaan mereka.

Pada penghujungnya, ini satu lagi peluang buat PN membuktikan keikhlasan mereka demi manfaat rakyat di kawasan yang mereka wakili daripada menggunakan naratif seperti Wan Fayhsal yang menggambarkan Machang mundur kerana kerajaan mengamalkan politik naungan dengan tidak memberi peruntukan.

Di kemuncak penolakan PN terhadap MoU kerajaan Sept lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil menasihatkan Muhyiddin supaya lebih bersikap seperti negarawan dan mengambil pendekatan berlapang dada untuk duduk semeja berbincang.

Ia bukan pun satu cadangan tidak baik sebenarnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221