Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1223

Gaduh dalam Dewan hanya wayang?

$
0
0

Ini bukan pun sesuatu yang tak biasa kita dengar. Perihal Ahli Parlimen bergaduh dalam Dewan Rakyat dan kemudian sama-sama minum kopi di luar seolah-olah tiada apa yang berlaku bukan sesuatu yang menghairankan.

Lama dahulu saya ada dengar daripada seorang rakan di Ipoh mengenai Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu atau Peja ketika masih menganggotai Kabinet dari Ogos 2021 hingga Nov 2022 bercerita supaya jangan percayakan sangat apa yang ditonton daripada video sidang Dewan Rakyat kerana sesetengahnya adalah wayang semata-mata.

Kata rakan itu cuba meyakinkan: Peja cakap deme (mereka) bukannya bergaduh betul-betul, habis bergaduh deme boleh duduk semeja makan atau minum kopi. Semuanya OK je, tak ada masalah (antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Maknanya ramailah rakyat biasa yang terpedaya dan tertipu melainkan orang politik yang mempunyai sumber dalaman untuk mengetahui perkara sebenar.

Blok tempat duduk dalam Dewan Rakyat sudah bertukar penghuni sejak itu dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) pula mengambil alih sebagai pembangkang. Adakah keadaan sudah berubah?

Tempoh hari Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid wakil rakyat Melayu pertama daripada DAP di Pulau Pinang memuat naik satu video di TikTok bertajuk Benarkah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang gaduh dalam Dewan Rakyat tapi ngopi sekali kat luar?

Memang betul kata Speaker (Johari Abdul) bahawa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hanya bertikam lidah dalam Dewan Rakyat tapi kat luar sana tu minum sekali tak ada masalah, katanya dalam video berkenaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 26 Feb lalu, Johari menegur Ahli Parlimen supaya mengelak daripada terlalu beremosi ketika bertikam lidah dan jangan melangkaui sempadan kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

Saya minta la (supaya kita boleh bincang elok-elok). Saya pun tahu saya Ahli Parlimen 15 tahun di sini. You all gaduh-gaduh di sini (selepas itu) you all semua minum kat luar.

Orang yang tengok tu ingat kut you all bergaduh sungguh, yang di kampung tu bertumbuk dek kerana you all. Jadi, bersikap adillah. Cakap ada sempadan kita, you all tahu di mana garis sempadannya, jangan langkau, katanya.

Beliau merujuk kepada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menuduh kerajaan Kelantan kejam kerana didakwanya mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli berkait dakwaan perlombongan bijih besi di negeri itu.

Kekecohan berlanjutan apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) menuduh Awang Hashim (PN-Pendang) secara tidak adil menyalahkan DAP atas semua masalah negara di samping mendakwa Rayer sebagai anti-Islam.

Kenyataan Pendang merujuk kepada DAP sebagai anti-islam adalah keterlaluan. Kita akan lawan dalam perkara ini. Itu adalah perkara serius, kami tidak boleh berkompromi dengannya, tegas Rayer.

Johari selepas itu memberi petuanya: Anda (Awang) bercakap selalu menurut emosihancur negara ini kerana DAP. Tak bolehkita sebagai MP (Ahli Parlimen) kena pakai otak juga, nak bercakap pakai otak.

Harus benarlah hujah Syerleena dalam videonya dengan menambah: Tapi untuk pengetahuan anda semua ada juga yang dalam Dewan tak OK, luar Dewan pun tak OK. Jangan ingat semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ni bertegur antara satu sama lain di pekarangan Parlimen. Ahli Parlimen ni manusia juga, manusia biasa tak lari daripada perasaan sikap pendam dan tak berpuas hati.

Ada yang tarik muka, ada yang ramah. Ada yang menyendiri, ada yang suka gurau dan macam-macam lagilah jenis yang ada. Namun majoriti besar Ahli Parlimen memang OK sahaja antara satu sama lain, katanya.

Ahli Parlimen penggal pertama berusia 44 tahun itu bagaimanapun bersetuju dengan Johari bahawa tak elok juga bila dalam Dewan Rakyat bertikam lidah tetapi di luar baik sebab rakyat tak tahu pun realiti di luar Dewan macam mana sampai menyebabkan bergaduh antara penyokong parti.

Jadi saya menyeru kepada semua rakan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya jangan sikap keterlaluan bila nak bertikam lidah sebab kita tak nak rakyat bergaduh di luar sana.

Bila bergaduh sebab kita, ada setengah yang masuk lokap kena denda, kita yang selamat, maka tak elok macam ni. Apa-apa pun kalau tak bersetuju kita boleh bincang secara elok, tambahnya.

Masakan kita boleh lupa apabila pembangkang membaca Qunut Nazilah dengan dipimpin oleh Zulkifli Ismail (PN-Jasin) pada 18 Julai lalu selepas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan susulan usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan.

Bacaan Qunut Nazilah itu lazimnya dibaca oleh umat Islam bagi mendoakan kemusnahan musuh agama atau dalam situasi perang disifatkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebagai melampaui batas dan tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

Namun, tidak semua pertikaman lidah di Dewan Rakyat boleh dianggap wayang kerana ada banyak perkara dibangkitkan membabitkan kepentingan negara termasuk perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 sepanjang minggu ini.

Kerajaan perpaduan pada Rabu berjaya meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan untuk memberi laluan kepada penggubalan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam dengan persetujuan dua pertiga ahli Dewan.

Pada penghujungnya, apa juga perbezaan pendapat dalam sidang Dewan Rakyat hendaklah diraikan asalkan Ahli Parlimen tahu batas dan sempadannya.

Jika tidak pun, Johari dan dua timbalannya Ramli Mohd Nor Jika tak faham arahan, saya akan bercakap dalam bahasa Orang Asli dan Alice Lau serta Mohd Shahar Abdullah dan Syahredzan Johan yang kadang-kadang digilirkan sebagai timbalan speaker sudah cukup masak untuk menangani keadaan baik daripada penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1223