Quantcast
Channel: Opinion | Editorial | Column | Letters
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221

Jangan hidung tak mancung sikap pula sombong

$
0
0

Agak-agak bahagian mana yang pembangkang masih tak faham tentang cara-cara terhormat untuk ia memohon peruntukan daripada kerajaan perpaduan bagi semua semua Ahli Parlimennya yang sudah tertangguh lebih dua tahun. Atau mereka sengaja buat-buat tak faham.

Di bawah tajuk Peruntukan pembangkang: Jemput bincang pun sudah tiada, laporan Malaysia Gazette pada 20 Feb memetik Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebagai berkata kerajaan tidak membuat apa-apa langkah mahupun menjemput mereka ke meja rundingan berkaitan peruntukan.

Nak update (nyatakan perkembangan) macam mana sebab tidak ada apa-apa yang mereka (kerajaan) buat atau jemput kita untuk duduk (berbincang), katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan menambah: Menteri Wilayah (Dr Zaliha Mustafa) buat kenyataan bahawa peruntukan kepada mereka (ahli Parlimen kerajaan), bukan kepada kita (pembangkang).

Ini susulan Dr Zaliha memaklumkan ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan khas perdana menteri berjumlah RM1.7 juta bagi kawasan Parlimen di Semenanjung dan RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak baru-baru ini. Bertambah sakitlah hati wakil rakyat pembangkang yang selama ini melopong kerana tidak mendapat apa-apa.

Untuk kefahaman Hamzah, sebuah gudang besar karpet di Nilai 3 terbakar pada pagi 21 Feb lalu stoknya untuk Aidilfitri habis musnah maka kerajaan tidak dapat hendak menghamparkan permaidani merah buat delegasi pembangkang datang berbincang di Putrajaya.

Kepada Takiyuddin pula, kita nak beritahu ini semua salah DAP parti itu sebagai komponen kerajaan perpaduan patut dipersalahkan atas semua masalah dalam negara dari dahulu sampai sekarang seperti didakwa rakannya Awang Hashim (PN-Pendang) dalam sidang Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Secara lebih serius, kita nak ingatkan balik kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dalam mesyuaratnya di Sri Perdana, Putrajaya pada 17 Apr 2024 pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

Berselang cuma beberapa hari, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pihaknya berpendirian kerajaan perpaduan tidak sepatutnya mewujudkan MoU jika benar-benar ikhlas untuk menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Berlawanan dengan didakwa presiden Bersatu itu, pembangkang ketika Anwar Ibrahim menjadi ketuanya tidak pernah mendapat peruntukan sepanjang PN menjadi kerajaan sehinggalah pembangkang menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sewaktu Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri pada 13 Sept 2021.

Anwar sewaktu dipanggil ketika itu mengetepikan segala kepentingan lain untuk datang berbincang tidak seperti pembangkang ketika ini yang bersifat angkuh dengan menuntut peruntukan diberikan tanpa sebarang ikatan.

Pada 15 Sept tahun lalu, PN sebulat suara menolak MoU berkenaan atas empat sebab utama, iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syaratnya dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Malah, pembangkang menyifatkan MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana drafnya didakwa mereka mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta tempatan.

Menolak untuk membuat sebarang cadangan balas, Muhyiddin berkata layanan sama tetap akan diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Itu sebabnya bagi kami tiada tujuan dan faedah untuk buat cadangan balas. Dalam kalangan Ahli Parlimen kita, tak ada kata buat cadangan balas sebab mereka tahu cadangan baru ini apa pun mereka tak layan, tak beri peruntukan. Sudah dua tahun buat rundingan berapa banyak dah perbincangan dibuat? Kamu tak perlu bincang, kalau nak bagi bagilah, katanya.

Andai Ahli Parlimen pembangkang tercari-cari kepada siapa kesalahan patut diletakkan sebagai punca mereka masih tidak mendapat peruntukan, ia sepatutnya dihalakan kepada Muhyiddin dan bukan sesiapa yang lain.

Terbaharu kelmarin Fadillah berkata kerajaan sedia menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti pandangan serta cadangan semua pihak ke arah mencari penyelesaian terhadap kemelut berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menegaskan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu mencapai konsensus berhubung perkara itu, sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi membolehkan ia dibincangkan.

Beliau (Fadillah) beritahu saya sila masukkan surat permohonan atau surat mahu berbincang atau nak beri pandangan balas, barulah beliau akan tubuh jawatankuasa. Jadi, ini bersyaratlah. Nanti kita akan bincang (dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang), kata Takiyuddin sebagai reaksi.

Kita akan tulis surat bahawa jika benar, kami bersetujulah untuk ditubuh satu jawatankuasa ini, kata Hamzah pula yang harus melihat ini satu lagi peluang buat pembangkang yang diketuainya di Dewan Rakyat daripada hanya berbuat bising di luar.

Kita bincanglah dulu, kata perdana menteri Sabtu lalu mengenai pendekatan yang secara konsisten diingatkannya kepada pembangkang sambil menambah, Seperti kita tahu sudah dua tahun lebih dia (Ahli Parlimen pembangkang) berdolak-dalik.

Sekali lagi diingatkan, gudang karpet di Nilai 3 terbakar membabitkan kerugian RM30 juta tapi sah-sah bukan DAP yang bakar jadi tiadalah permaidani merah dapat disediakan buat mereka.

Lagipun, sejak bila pula pihak yang berkehendak boleh menetapkan pelbagai syarat kepada pihak yang berkuasa untuk memberi.

Kalau kesediaan untuk berbincang dilakukan dari dahulu lagi, harus sudah lebih dua tahun Ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan, namun lebih baik terlewat daripada tiada langsung.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1221