Harap-harap Ramadan ini tidak ada polemik (sekadar menggunakan istilah lembut) mengenai rakaat sembahyang tarawih 20 atau lapan. Para agamawan berulang kali beritahu buatlah mana yang mampu dan terdaya tetapi persoalan diajukan juga setiap kali Ramadan tiba, seolah-olah pengajaran agamawan tidak didengar atau tidak difahami, atau terpanggil untuk mengaju pertanyaan yang sama untuk tujuan tertentu. Bagi saya sengaja bikin kecoh.
Harap-harap Ramadan ini tidak ada juga polemik mengenai selawat antara rakaat. Sekali lagi sudah berkali agamawan menegaskan selawat dan bacaan tertentu ketika memulakan atau di antara rakaat sembahyang tarawih tidaklah dimestikan namun tidak salah jika ingin mengamalkannya. Penjelasan terang dan jelas tetapi ada ada juga yang suka tanya salah atau tidak jika dibuat atau tak buat.
Tempoh hari saya menonton satu video di YouTube. Ada seorang Muslim bertanya seorang agamawan mengenai doa qunut pada rakaat terakhir sembahyang witir. Ada masjid doa bermula pada 15 Ramadan dan ada baca sebaik bermula Ramadan. Mana yang betul dan mana yang salah, dia bertanya. Kemusykilan ini sudah berkali-kali disuarakan pada tahun-tahun terdahulu dan berkali-kali juga ustaz beri penjelasan dua-dua tak salah.
Tetapi ditanya juga.
Bertanya kepada agawaman tidak ada salahnya tetapi yang menyedihkan bila berlaku perbalahan berpanjangan di mana dua pihak mempertahankan pendapat dan kepercayaan masing-masing. Kalau begitu tanya ustaz buat apa? Harap-harap Ramadan ini itu semua tidak berlaku.
Harap-harap Ramadan ini orang yang berpuasa tidak berkeras dengan pendapat mereka bahawa orang yang tak puasa (baca: non-Muslim yang sememangnya tidak perlu puasa) faham-faham lah kita tengah puasa. Maksudnya orang tak puasa jangan makan di depan orang berpuasa. Mesti toleran jika mereka lambat datang kerja, kerja perlahan, marah-marah dan balik awal. Mereka sedang berpuasa faham? Sebenarnya ramai kalau bukan semua orang yang tak puasa hormat orang yang berpuasa.
Harap-harap Ramadan ini tidak ada kecoh pasal kantin sekolah dibuka sepanjang bulan. Pelajar bukan Islam makan di kantin di depan pelajar Islam yang puasa. Harap-harap Ramadan ini tidak ada bilik persalinan atau stor sekolah dijadikan kantin sementara supaya pelajar bukan Muslim makan dan minum tidak dilihat pelajar Muslim. Tetapi ada pelajar perempuan Muslim yang tidak boleh berpuasa lantas perlu beli makanan di kantin.
Bercakap pasal balik awal. Masa saya berusia tujuh tahun (1962) ibu saya beritahu kakitangan kerajaan dibenarkan pulang pada pukul 1 tengah hari setiap hari sepanjang Ramadan. Ertinya mereka semua kerja half day. Sebabnya? Mereka berpuasa. Pun begitu yang tak puasa pun dapat nikmat balik awal.
Lama-kelamaan (saya tak ingat tahun apa) kerajaan ubah peraturan. Semua kakitangan mesti bekerja seperti biasa pada Ramadan yakni 8.15 pagi hingga 4.15 petang, bagi yang bekerja di pejabat. Mengapa? Sebab Islam tidak menganjurkan umatnya rehat-rehat semasa berpuasa, kata kerajaan waktu itu. Ibadah puasa wajib didirikan tetapi amalan harian termasuk kerja, belajar dan berniaga mesti jalan seperti biasa. Semua diingatkan perang Badr berlaku dalam bulan Ramadan.
Sekarang ada kerajaan negeri mengizinkan pekerjanya pulang awal atas sebab tertentu dan untuk menunjukkan sifat prihatin khususnya terhadap pekerja wanita Muslim yang terpaksa tergesa-gesa menyiapkan makanan untuk keluarga berbuka puasa. Waktu kerja diubah suai. Ada yang masuk kerja awal untuk dibolehkan balik awal. Ada yang diizinkan balik pada pukul 2 petang (khususnya wanita) dengan syarat tidak ambil apa-apa breaks atau waktu rehat. Ertinya kerja direct sampai 2 petang. Harap-harap semua yang mendapat nikmat balik pada pukul 2 petang berbuat demikian. Janganlah break dan balik awal pun nak.
Baru-baru ini ada video di Facebook membabitkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Setelah melakukan lawatan kerja (di mana saya tak tahu) seperti kelaziman ada sidang media. Kedengaran suara seorang wartawan wanita bertanya si menteri pada Ramadan ini budak sekolah balik awal ke? Menteri respond: Buat apa balik awal bukan boleh buka pun. Habis di situ.
Video itu terus menampilkan ahli politik Perikatan Nasional, Radzi Jidin. Radzi menjawab Fadhlina: Mengapa balik awal? Banyak sebab balik awal YB. Lebih kurang begitulah. Radzi yang pernah jadi menteri pendidikan semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaacob merujuk surat pekeliling zaman dia bahawa sekolah tutup awal pada bulan Ramadan. Ini boleh diterjemahkan sebagai time beliau bagus untuk pelajar dan guru, bukan macam time Fadhlina.
Sehari kemudian muncul Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh membuat penjelasan. Kata beliau kenyataan Fadhlina telah diputar belit. Ada segelintir pihak yang bertindak memotong video tersebut ada ayat itu sahaja. Tetapi Fadhlina ada sebut selepas itu bahawa Kementerian Pendidikan mengikut pekeliling sedia ada.
Ertinya pelajar sesi petang pulang pada pukul 5.30 petang untuk Semenanjung Malaysia manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pulang pukul 5 petang seperti Ramadan terdahulu. Tiada perubahan.
Jelas Radzi mahu juga cuba score political points sebab isu pulang awal bulan Ramadan sesuatu yang dekat di hati ibu bapa Muslim. Lagipun orang Melayu-Islam majoriti di Malaysia maka perasaan mereka mesti dijaga jika politikus mahu undi mereka.
Apa pun harap harap Ramadan ini tidak ada perkara yang dijadikan isu politik oleh politikus yang mahu markah politik. Selamat menyambut Ramadan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.